Lahirnya Empayar Tanah Merah Chih_Tu

Pada awal abad ke-6 Masihi, Kalathana telah dikuasai kembali oleh Funan yang berpusat di Campa. Pada tahun 522 M, kerajaan Funan telah runtuh akibat diserang oleh suku Khmer dari bahagian tengah Sungai Mekong.

Kalinggawarman, Raja Kalathana telah menyerang Funan dan berjaya mengusir suku Khmer yang telah menawan kota Campa pada 556 M, seterusnya membina kembali empayar Funan yang runtuh dan melaksanakan penaklukan kembali wilayah kekuasaan Funan. Pada 561 M pula, Kalinggawarman telah mengisytiharkan diri baginda sebagai Maharaja Funan dan melantik adinda baginda Raja Gautama menjadi Raja Kalathana seterusnya berfungsi sebagai gabenor tertinggi bagi seluruh Segenting Kra dan Semenanjung. Namun pada 566 M, Raja Gautama telah membelot kakanda baginda dengan mengisytiharkan kemerdekaan Kalathana daripada Funan dan telah memindahkan ibu empayarnya dari kota Yawakotti, terletak di Hilir Kelantan ke arah Hulu Kelantan yang dipercayai kawasan Nenggiri sekarang. Kawasan baru ini amat strategik dari aspek ketenteraan dan perlindungan. Perpindahan ibu kota ini sebenarnya dilakukan untuk mengelak serangan daripada Funan, selain itu kawasan Hulu Kelantan juga kaya dengan lombong-lombong emas.

Raja Gautama telah menukar nama Kalathana kepada nama baharu iaitu Tanah Merah sesuai dengan lokasi ibu empayarnya yang terletak di kawasan tanah rata berwarna merah batu kawi. Baginda juga menamakan ibu empayar Tanah Merah sebagai Kota Singa dan dirujuk oleh sarjana China sebagai Seng-Chih atau Shih-tzu, manakala nama Tanah Merah dirujuk pula dengan nama Chih Tu oleh China dan Raktamrittika oleh India. Negeri ini hanya mencakupi Kelantan pada hari ini, Besut di selatan dan Narathiwat di utara, memandangkan negeri-negeri lain dalam Segenting Kra dan Semenanjung masih taat kepada Funan. Kalinggawarman, Maharaja Funan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Raja Gautama, seolah-olah merestui tindakan adinda baginda membebaskan Kalathana dan menubuhkan Tanah Merah. Sebaliknya baginda telah melantik adinda baginda yang juga Raja Thanathana menggantikan Raja Gautama sebagai gabenor Funan untuk wilayah Segenting Kra dan Semenanjung.